Doctor Fitness UTM Muncul Juara

Written by Zaidi Bahari on . Posted in News & Event Hits: 4525

DOCTOR FITNESS UTM MUNCUL JUARA

JOHOR BAHRU 28 Mei - Idea kreatif lima siswa Ijazah Pengurusan Pemasaran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan aplikasi dinamakan Doctor Fitness berjaya meletakkan mereka sebagai juara keseluruhan Techno Biz Challenge 2013.

Kemenangan itu membolehkan Kumpulan Simple membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas turut memenangi kategori Kesihatan.

Pertandingan anjuran Fakulti Komputeran dengan kerjasama Fakulti Pengurusan itu melibatkan 298 peserta mewakili 65 kumpulan.

Pengarah Program, Mohd. Iskandar Illyas Tan berkata, program dwi tahunan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Halal dan Industri Makanan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Telekomunikasi dan Kesihatan.

"Selain menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,500, pertandingan ini bertindak sebagai platform kepada pelajar di peringkat ijazah, sarjana dan ijazah kedoktoran mencipta produk berasaskan teknologi dan bersifat komersial.

"Saya berpuas hati dan bangga apabila pelajar mampu menghasilkan pelbagai idea bernas dan percaya ia boleh bersaing di pasaran sekiranya ada pihak yang sudi membantu mereka mengkomersialkannya," kata beliau kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pertandingan itu juga adalah sebagai syarat bagi memenuhi subjek yang diambil oleh pelajar daripada kedua-dua fakulti tersebut.

Sementara itu, ketua kumpulan yang menghasilkan aplikasi Doctor Fitness, Choong Chia Wei berkata, idea berkenaan adalah berdasarkan trend masyarakat yang kekurangan masa untuk berjumpa dengan perunding nutrisi bagi pengambilan makanan seharian.

"Kami diberi masa empat bulan menyiapkan projek berkenaan. Idea ini adalah inspirasi daripada sebuah aplikasi yang pernah wujud dalam telefon pintar yang lebih fokus terhadap makanan barat.

"Kami mengubahnya agar bersesuaian dengan makanan orang Asia demi menjaga diet seharian, sekali gus mendidik cara pemakanan sihat," katanya.

Chia Wei yakin aplikasi tersebut berpotensi untuk mendapat sambutan di pasaran memandangkan ramai penduduk yang mengalami masalah obesiti ingin mengurangkan berat badan mereka.

Sumber,
Utusan Malaysia Online: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130529/wj_02/